BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Isnin, 20 Julai 2009

.:: Peristiwa Isra' Mikraj ::.

Dalam rangka memantapkan iman serta memperlihatkan limpah kurniaNya ke atas Rasulullah, Allah memperlihatkan seluruh kebesaranNya ketika Baginda melalui peristiwa Isra dan Mikraj.

Allah s.w.t. menjalankan (asra) hambaNya (Nabi Muhammad) pada suatu malam yang berkat dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa di Baitul Maqdis. Perjalanan Baginda pada malam itu adalah bertujuan untuk menyaksikan keagungan Allah dan menerima perintah sembahyang .

Allah berfirman yang bermaksud :
"Maha Suci Allah yg telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram (di Mekah) ke Masjidil Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, utk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
(surah al-Israa':1)

Ketika Rasulullah s.a.w. sampai ke Baitul Maqdis, baginda bertemu dengan Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan Nabi Isa a.s. Kemudian Rasulullah s.a.w mengimamkan sembahyang di Masjidil Aqsa. Selesai sembahyang Baginda menghampiri dua gelas. Satu gelas berisi khamr (arak) dan satu lagi berisi air susu. Rasulullah mengambil gelas yang berisi air susu dan meneguknya. Baginda membiarkan sahaja gelas yang berisi arak. Selepas itu Jibril berkata kepadanya :"Aku hadiahkan kerana kesucian susu untuk umatmu hai Muhammad, dan diharamkan atasmu khamr.

Dari Baitul Maqdis Rasulullah meneruskan perjalanannya naik ke langit yang disebut sebagai Mikraj. Dari Mikraj itu Nabi menerima kewajipan sembahyang untuk dirinya dan seluruh umatnya sebanyak lima waktu sehari semalam.

Pada keesokan Rasulullah memberitahu kejadian tersebut kepada umatnya. Ada sebahagian yang mempercayainya dan ada sebahagian lagi mengingkarinya. Kemudian, umat yang lemah iman menjadi murtad (Keluar agama Islam). Malahan ada satu golongan yang datang kepada Abu Bakar untuk meminta pendapatnya. Abu Bakar menjawab,"Apapun yang dikatakan oleh Nabi Muhammad, aku membenarkannya dan aku percaya." Dan sejak itulah Abu Bakar digelar sebagai as-Siddiq.

Kemudian perbincangan terjadi di antara kaum kafir Mekah terhadap kejadian yang mengundang masalah itu. Mereka ingin menguji Rasulullah dan bertanya mengenai bentuk Masjid di baitul Maqdis. Ternyata Baginda mampu menjelaskannye secara terperinci sehingga ada sebahagian di antara mereka yang membenarkannya.

Selepas itu, mereka bertanya lagi kepada Baginda supaya menjelaskan jumlah unta yang membawa dagangan para saudagar dari Syria. Nabi pun menjawab:" ketika terbit matahari datang kafilah unta berwarna putih dan hitam dari Syria. Kemudian mereka menunggu kedatangannya." walaupun Nabi mampu memberi jawapan yang benar dan tepat, mereka tetap dalam keadaan ingkar (kafir) bahkan kekafiran mereka semakin bertambah....

(dipetik dari buku Kisah-Kisah Nabi dalam Al-Quran)

0 comments:

~kite tengok sape paling bnyk score~